
PENGKALAN CHEPA: Kejadian tebing runtuh di Kampung Pulau Pisang, di sini menimbulkan kebimbangan apabila situasi tersebut berisiko akibat hakisan yang boleh menjejaskan kediaman penduduk di kawasan berkenaan.
Insiden itu bagaimanapun mendapat perhatian segera apabila pihak berkuasa turun padang bagi menilai keadaan dan mencari penyelesaian terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur Negeri, Dato’ Dr Izani Husin telah melakukan lawatan ke kawasan terbabit bersama para pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat sendiri keadaan yang berlaku, semalam.
Dr Izani memaklumkan, perbincangan turut diadakan bagi mengenal pasti langkah segera yang perlu diambil untuk mengelakkan hakisan menjadi lebih serius.
“Insya-Allah, langkah pembaikan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan keselamatan penduduk dan kediaman di kawasan ini terjamin,” ujarnya pada catatan di Facebook.
Beliau berkata, usaha akan dilakukan segera ini diharap dapat mengatasi masalah hakisan tebing, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk Kampung Pulau Pisang yang terjejas.
Kejadian hakisan tersebut dipercayai berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas.
Sementara itu, MetMalaysia melaporkan hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Perak (Hulu Perak), Kelantan, Terengganu, Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) sehingga Khamis, 19 Disember ini. – HARAKAHDAILY 17/12/2024












