
KUALA LUMPUR: Penarikan subsidi RON95 yang dirancang kepada golongan T15 iaitu kumpulan isi rumah 15 peratus teratas perlu dilakukan percubaan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
Senator Baharuddin Ahmad berkata, cadangan itu bagi memastikan sistem pelaksanaan bersasar dapat berfungsi dengan lancar serta mengelakkan sebarang kesulitan kepada pengguna yang layak.
“Adakah kerajaan bercadang untuk mengadakan projek terlebih dahulu sebelum melaksanakan program itu? Selain itu, apakah sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang ada sekarang ini sesuai digunakan dalam projek tersebut?
“Seterusnya, adakah stesen tertentu akan digunakan sebagai lokasi percubaan? katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang menilai pelbagai kaedah terbaik untuk memastikan subsidi bersasar ini dapat dilaksanakan dengan efisien tanpa menimbulkan kesulitan kepada rakyat.
Rafizi berkata, cadangan pindahan tunai memberi elaun tambahan kepada setiap keluarga yang layak juga sedang dipertimbangkan sebagai alternatif.
Baharuddin dalam soalan asal meminta Menteri Ekonomi menyatakan perincian kerajaan berkenaan siapakah golongan T15 yang akan ditarik balik subsidi bahan api, pendidikan dan kesihatan seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025. – HARAKAHDAILY 17/12/2024











