
GAZA: Operasi pembebasan di Tebing Barat tidak akan berhenti walaupun ia berdepan serangan berterusan rejim Zionis-Israel dan tindakan pihak berkuasa Palestin (PA) yang memburu pejuang, kata HAMAS.
Pemimpin gerakan perjuangan Palestin, Mahmoud Mardawi berkata, langkah keselamatan ketat oleh Israel tidak akan membawa keselamatan kepada tenteranya mahupun pendatang haram Israel.
“Rakyat Palestin tetap berpegang teguh dengan pilihan untuk berjuang dan ketabahan walau apa jua pengorbanan diperlukan,” katanya memetik Dunia Palestin.
Mardawi turut mengecam tindakan pihak berkuasa keselamatan Palestin di Jenin yang dikatakan berusaha menamatkan gerakan pembebasan melalui operasi pemburuan dan pembunuhan pejuang yang menentang pendudukan Israel.
“Tindakan pihak berkuasa di Jenin ini jelas tidak boleh diterima dan perlu dihentikan serta-merta kerana hanya menguntungkan pihak penjajah,” katanya.
Beliau menggesa pihak berkuasa keselamatan Palestin menghentikan operasi memburu pejuang, sekali gus memperkukuhkan perpaduan nasional bagi menghadapi ancaman Israel.
Mardawi menyifatkan tindakan itu berlaku pada waktu mencurigakan ketika Kerajaan Israel berusaha menggabungkan Tebing Barat dan mengusir penduduk Palestin.
Semua pihak, kumpulan dan fraksi politik Palestin, perlu mengambil pendirian tegas terhadap perkembangan di Jenin dan mendesak PA menghentikan operasi mereka, kata Mardawi. – HARAKAHDAILY 17/12/2024











