Jajaran paip LRA Pelubang siap 73 peratus

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerja pemasangan paip Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, telah siap 73 peratus dan mendahului sasaran empat peratus, maklum Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Bekalan Air, Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, setakat semalam, sepanjang 82 kilometer daripada 112 kilometer telah siap dipasang.

“Sehingga 15 Disember, kerja-kerja pemasangan telah mencapai 47.36 peratus, lebih daripada 43 peratus yang disasarkan mengikut jadual,” jelasnya.

Semalam, beliau turun ke lapangan meninjau perkembangan kerja-kerja menaik taraf dan jajaran paip, LRA Pelubang, di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Ir Mohd Faisal Ismail dan wakil anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Bina Darul Aman (BDB).

Katanya lagi, kerja-kerja pemasangan paip itu memakan sedikit masa, kerana melibatkan ‘pipe-jacking’ atau penyambungan paip di 11 tempat.

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana kerja-kerja berkenaan hampir siap.

“Banyak isu dan masalah sudah berjaya diatasi, cuma ada sedikit iaitu berkenaan pengambilan tanah. Tetapi saya yakin akan dapat diatasi dan siap dengan sempurna,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -