Pencerobohan Israel di Syria mendapat kecaman

- Advertisement -

NEGARA haram Israel telah meluluskan rancangan untuk menambah populasi pendatang haram Yahudi di Bukit Golan terletak di Barat Daya Syria selepas merampas wilayah tersebut ketika perang tahun 1967. 

Pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengumumkan kawasan itu sebagai milik Tel Aviv selama-lamanya. 

Pengumuman itu dibuat selepas Israel menyatakan tidak berniat untuk berkonfrontasi dengan pemerintah sementara Syria setelah tenteranya menceroboh zon demiliterisasi di sempadan Israel-Syria yang berada di bawah pemantauan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Baru-baru ini, pada 16 Disember 2024, Netanyahu telah meluluskan projek pembangunan dan penambahan demografi di Bukit Golan bernilai 40 juta shekel (RM49.39 juta). 

- Advertisement -

Sebelum itu, pada tahun 2021, peruntukan sebanyak AS$317 juta (RM1.3 bilion) telah diperuntukkan untuk menambah pendatang Yahudi di Bukit Golan selepas perampasan wilayah tersebut dari Syria. 

Peruntukan itu adalah untuk membina perumahan, infrastruktur dan lain-lain bertujuan untuk menggandakan populasi di Bukit Golan. Wilayah tersebut menempatkan hampir 30,000 warga Israel dan kira-kira 23,000 penduduk Arab Druze yang kebanyakannya masih mengekalkan kewarganegaraan Syria.

Turkiye memberi amaran langkah ini akan merosakkan usaha untuk membawa kestabilan bagi Syria selepas penggulingan Bashar al-Assad. Turkiye mengecam rancangan Israel untuk menggandakan jumlah penduduk di Bukit Golan yang diduduki dan ditakluki sebagai usaha untuk meluaskan sempadan negara itu.

Selain itu, Kementerian Luar Mesir menggambarkan tindakan Israel tersebut sebagai pencerobohan wilayah Syria dan melanggar perjanjian antara dua negara itu pada tahun 1974. Perjanjian tersebut menyebabkan Israel berundur dari beberapa wilayah Syria namun tetap menguasai sebahagian dataran tinggi Golan. 

Mesir mengatakan tindakan Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara Syria. Mesir turut menyeru Majlis Keselamatan PBB dan negara-negara kuasa besar untuk memikul tanggungjawab mereka dan mengambil bertegas terhadap serangan Israel terhadap Syria baru-baru ini.

Manakala Kementerian Luar Iraq turut mengeluarkan kenyataan yang mengutuk pencerobohan Israel di Bukit Golan dalam zon yang memisahkan antara negara itu dengan sempadan Syria sambil menyifatkan tindakan ini merupakan pelanggaran secara terang-terangan terhadap undang-undang dan resolusi legitimasi antarabangsa yang relevan.

Negara-negara lain yang turut mengecam tindakan Israel termasuklah Arab Saudi. Qatar, Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait yang sebelum ini dilihat sebagai pihak yang berkecuali atau masih mengekalkan  status tidak mencampuri konflik negara haram itu melibatkan mana-mana negara lain.

Liga Muslim Sedunia mengutuk keputusan rejim Zionis untuk memperluaskan petempatan di Bukit Golan melalui satu kenyataannya. 

Sekretariat Agung pertubuhan itu menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengecam dan mengambil tindakan terhadap pelanggaran Israel yang didakwa menghancurkan peluang rakyat Syria untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan negara itu setelah terbelenggu di bawah pemerintahan kuku besi selama 54 tahun. 

Kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat itu menekankan kepentingan menghormati kedaulatan Syria, kedaulatan wilayahnya serta keselamatan rakyatnya.

Liga Arab juga menyatakan kecaman penuh terhadap Israel yang mengeksploitasi perkembangan terkini di Syria dengan melakukan perampasan tanah tambahan di Dataran Tinggi Golan.

Negara-negara lain yang turut mengecam tindakan Israel termasuklah Arab Saudi. Qatar, Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait. 

Pemimpin pejuang Syria, Ahmad al-Sharaa atau dikenali sebagai Abu Muhammad al-Julani yang mengetuai kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham (HTS) turut mengkritik tindakan Israel. 

Namun, beliau menekankan bahawa Syria kini lebih memberi tumpuan pada pembinaan semula negara selepas bertahun-tahun berperang. Menurutnya, keutamaan rakyat Syria ketika ini adalah kestabilan dan pemulihan, bukan konflik baru yang hanya membawa kemusnahan dan kehancuran. 

Sebelum ini, beliau menerima kritikan banyak pihak kerana seolah-olah tidak mempedulikan pencerobohan Israel terhadap wilayah di Syria setelah kumpulannya berjaya menggulingkan Presiden Bashar al-Assad lebih seminggu yang lalu.

IMRAN AL MALIZI – HARAKAHDAILY 17/12/2024

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/15kSGjyChH/ 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -