
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) menyuarakan kebimbangannya terhadap amalan kerajaan yang adakalanya menganggap teguran daripada rakyat sebagai sesuatu yang tidak betul atau palsu.
Beliau berkata, teguran yang jujur, meskipun pahit, harus diterima kerana kebenaran itu adalah kunci utama dalam usaha memperbaiki keadaan.
“Saya minta menteri, jangan jadikan akta atau pindaan ini untuk dibuat semata-mata untuk mempertahankan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, individu termasuk kerajaan sendiri.
“Saya lihat akhir-akhir ini kadang-kadang ada teguran daripada rakyat jelata di bawah menegur kesilapan yang dibuat oleh kerajaan lantas akan keluarlah satu terpapar dalam TV, semuanya palsu.
“Kalau ini berlaku kita izinkan. Kalau dulu sepertimana yang kawan-kawan kita sebut masa kita membantah akta ini dulu berguling di mana-mana tetapi jangan sampai nanti rakyat memusuhi kita. Marah kepada kita dan tidak percaya kepada kerajaan lagi.
“Kerana kami keluarkan apa yang betul tetapi tidak diterima oleh kerajaan, dianggap apa yang kami tegur kerajaan semuanya tak betul. Biarlah pahit Yang Berhormat Menteri. Tapi asalkan kepahitan itu menjadi ubat kepada kita. Tak ada ubat yang semuanya manis. Tapi gula akan membawa racun kepada kehidupan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika pindaan itu tidak membawa kebaikan, kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk menangguhkan kelulusannya.
“Saya menyokong apa yang disebutkan oleh sahabat-sahabat saya yang lepas. Saya minta kerajaan kalau benda ni tidak bagus keluarkan dan tidak masalah untuk kita menangguhkan kelulusan pindaan akta ini.
“Kalau ia bagus, terima pandangan-pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli Yang Berhormat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2024











