AI Summer Camp pacu minat pelajar dalam STEM

- Advertisement -

ARAU: AI Summer Camp University Tour – Zon Utara 2024 yang berlangsung dari 2 hingga 7 Disember di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya memperkenalkan konsep asas kecerdasan buatan (AI) kepada pelajar di Zon Utara.

- Advertisement -

Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli dalam ucapannya pada majlis perasmian penutupan program ini di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin hari ini berkata, program tersebut adalah platform terbaik untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

“Seramai 66 peserta daripada institusi pendidikan Zon Utara telah mengikuti pelbagai bengkel seperti AI & Analitik Data, Pembangunan Chatbox, Realiti Maya, serta teknologi Robotik dan Internet Pelbagai Benda (IoT),” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan, program itu mampu melahirkan bakat baharu yang kritis dan kreatif dalam dunia teknologi.

Dr Zaliman juga berkongsi beberapa inisiatif strategik UniMAP dalam bidang AI, termasuk penubuhan Fakulti Sains & Pengkomputeran yang dijangka beroperasi pada tahun akademik 2025/2026, serta pelancaran Program Pengajian Data Sains (AI) yang kini dalam proses kelulusan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“UniMAP juga sedang memperkukuh kerjasama dengan industri seperti Kulim Hi-Tech Park, di mana universiti ini telah menyumbang lebih 3,200 graduan yang sedia bekerja dalam sektor teknologi tinggi,” tambahnya.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Akademik (AMC) dan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan sokongan rakan strategik seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta SHT Engineering. – HARAKAHDAILY 6/12/2024

- Advertisement -