
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada hari ini, 20 November 2024.
“Di kesempatan ini, kita sebagai ibu, kakak atau ibu saudara, mari sama-sama peluk cium dan beri ucapan ‘Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia, terima kasih kerana menjadi anak yang baik, adik yang baik’.
“Kepada, anak-anak, anak saudara dan adik-adik kita yang masih lagi kanak-kanak. Mesti mereka bahagia mendapat ucapan penghargaan dari orang tersayang!” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.
Tambah kenyataan itu, setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, di mana kedua orang tuanyalah yang akan menjadikan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.
“Anak-anak dilahirkan suci dan yang mencorak mereka ada ibu dan bapa. Jadi, coraklah ia dengan penuh kebaikan dan kasih sayang. Ajarkan mereka erti islam sebenar yang merangkumi seluruh aspek kehidupan sebagai manusia di bumi Allah SWT ini.
“Sayangi mereka. Mereka adalah penyeri kehidupan,” kata kenyataan tersebut.
Hari Kanak-Kanak Sedunia, yang diasaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1954, disambut setiap tahun pada 20 November.
Ia bertujuan untuk memupuk perpaduan antarabangsa, kesedaran tentang hak kanak-kanak, dan tindakan untuk menambah baik kebajikan mereka. – HARAKAHDAILY 20/11/2024











