
PASIR PUTEH: Pusat Khidmat Dun (PKD) Gaal menghargai jasa enam muslimat yang bertungkus lumus membantu kemenangan PAS di Dun berkenaan sehingga sekarang.
ADUN Gaal, Mohd Rodzi Jaafar berkata, aktivis muslimat terbabit bekerja siang dan malam ketika kempen pilihan raya bagi mempertahankan kemenangan PAS.
Katanya, mereka terdiri dari bekas Ketua Muslimat Dun, Ahli-Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Dun, guru-guru al-Quran dan pembantu Dakwah Halaqat.
“Aktivis terbabit banyak berkorban sehingga DUN Gaal dapat dikekalkan kemenangan sehingga sekarang.
“Jadi hari ini kita raikan mereka pada majlis khas sebagai tanda penghargaan. Terima kasih di atas semangat juang yang tidak pernah padam,” katanya pada program tersebut semalam.
Turut hadir Ketua Muslimat DUN, Jamilah Husin dan isteri ADUN Gaal Yusmawati Yusoff.
Pada majlis itu juga diadakan tayangan video khas bagi mengenang pengorbanan tokoh-tokoh terbabit.
Mohd Rodzi juga berkata, PKD Gaal tidak pernah lupa pengorbanan insan-insan hebat yang banyak berbakti kepada komuniti di DUN Gaal. – HARAKAHDAILY 20/11/2024











