Apa inisiatif kerajaan tingkat pelaburan Perak Tengah

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mempersoalkan inisiatif jangka panjang oleh pihak kerajaan dalam pembangunan kawasan Seri Iskandar, daerah Perak Tengah.

- Advertisement -

Beliau berkata kerajaan berhasrat ingin menggalakkan pembangunan industri pelaburan dan perdagangan antarabangsa secara bersepadu.

“Seri Iskandar mempunyai kemudahan akses jalan darat, laut dan udara yang memberi peluang kepada syarikat dari serata dunia untuk berkembang dan menghasilkan produk industri yang berkualiti tinggi.

“Maka, apa inisiatif jangka panjang kerajaan dalam meningkatkan pelaburan terhadap kawasan saya ini pada masa akan datang?” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Ismi juga mempersoalkan usaha kerajaan dalam memangkinkan pembangunan di kawasan daerah Perak Tengah.

“Usaha sebegini adalah terutamanya industri berasaskan sumber khusus produk dan produk hiliran berasaskan hasil pertanian produk logam asas serta produk elektronik sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berharap kerajaan mengambil perhatian sepenuhnya mengenai isu-isu sebegini dalam melakukan pembangunan industri pelaburan dan perdagangan antarabangsa secara bersepadu. – HARAKAHDAILY 20/11/2024

- Advertisement -