UniMAP iktiraf peranan media tingkat keterlihatan

- Advertisement -

KANGAR: Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli mengiktiraf sumbangan besar pihak media dalam membantu meningkatkan keterlihatan UniMAP sejak penubuhannya, dalam satu majlis, di sini malam kelmarin.

- Advertisement -

Majlis Gala Gemilang Media 2024 dianjurkan khas sebagai tanda penghargaan kepada media Perlis yang telah memberi sokongan serta liputan berterusan terhadap pelbagai program UniMAP sepanjang 23 tahun ini.

Majlis turut menjadi platform bagi bertukar idea untuk menghasilkan bahan publisiti yang lebih memenuhi keperluan media dan berkualiti.

Prof Dato’ Zaliman dalam ucapannya berkata, UniMAP akan terus komited dalam mencapai matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025.

Beliau turut mengumumkan sambutan Jubli Perak UniMAP yang bakal diraikan pada Julai 2026.

“Kami amat menghargai kerjasama media dalam membantu menyerlahkan pencapaian UniMAP, terutama dalam memperkenalkan bidang akademik dan penyelidikan universiti ini.

“Program terdekat yang bakal menerima liputan media ialah Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-19 yang akan berlangsung pada 9 hingga 12 November ini,” katanya.

Tambah beliau, UniMAP melalui Unit Perhubungan Media Pusat Komunikasi Korporat (PKK) bersedia menjadi rujukan media dalam isu semasa dan menawarkan kepakaran dari kalangan akademik universiti untuk membantu memenuhi keperluan berita berkaitan penyelidikan dan akademik.

Hadir sama, Pengarah PKK, Muhamad Azuan Mohamad Nasir dan Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Syed Azlan Sayed Hizar serta Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hafizi Rosli. – HARAKAHDAILY 1/11/2024

- Advertisement -