
KOTA BHARU: Umat Islam hendaklah menjadikan amalan membaca sebagai budaya dalam kehidupan seharian.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad al Bakri berkata, amalan itu selaras dengan surah Iqrak yang diturunkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Katanya, budaya belajar dan membaca tidak pernah berhenti bagi umat Islam sehingga nafas yang terakhir.
“Tulislah pula apa yang terbaik daipada apa yang kita baca dan hafalkan juga maklumat terbaik daripada apa yang telah kita pelajari.
“Dan paling baik kita membaca mengenai cara hendak kenal Tuhan. Ada seorang ulama di zaman lampau membaca 20,000 daripada 60,000 judul buku yang terdapat sebuah perpustakaan,” katanya pada kuliah perdana pagi Jumaat di Medan Ilmu di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Kerajaan Negeri Nik Bahrum Nik Abdullah.
Dr Zulkifli juga berkata, Imam Ahmad Ibnu Hambal pernah disekat untuk mengajar agama oleh pemerintah pada zamannya.
Menurutnya sekatan itu tidak diketahui seorang yang datang untuk menuntut ilmu Hadis dari jauh.
“Ketika dia menemui Imam Ahmad di rumahnya untuk belajar ilmu Hadis, ulama terbabit memintanya datang pada sebelah pagi dengan menyamar sebagai peminta sedekah.
“Imam Ahmad memberitahu beliau sedia untuk titip dua tiga Hadis setiap pagi kepada pengembara tersebut.
“Dia datang kira-kira 1,000 batu untuk menuntut ilmu dengan Imam Ahmad dan menyewa sebuah bilik kecil milik orang kaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2024











