Takdir atau usaha: Pilihan di tangan kita

- Advertisement -

ADA yang berpendapat, “Saya jahat sebab Tuhan dah tulis saya jahat. Takdir saya memang jadi jahat,” namun pemahaman ini perlu diluruskan.

Sebenarnya, kebaikan atau kejahatan seseorang itu bergantung kepada pilihan dan usahanya sendiri. Memang, Allah Maha Mengetahui siapa yang akan memilih jalan yang mana, tetapi pengetahuan itu bukanlah sesuatu yang mengikat atau memaksa kita.

- Advertisement -

Bayangkan seorang guru yang berpengalaman, memerhatikan murid-muridnya di dalam kelas. Berdasarkan pengamatannya, dia mungkin dapat menjangka siapa yang berpotensi lulus dan siapa yang mungkin gagal.

Tetapi jangkaan ini tidak menentukan nasib murid-murid tersebut. Mereka masih bebas berusaha—jika mereka mahu, mereka boleh membuktikan guru itu salah dengan bekerja keras dan membaiki keputusan mereka.

Begitu juga dengan doktor. Seorang doktor mungkin meramalkan pesakitnya hanya boleh bertahan setahun lagi berdasarkan keadaan kesihatannya.

Namun, jika Allah berkehendak lain, pesakit itu mungkin hidup lebih lama, bahkan bertahun-tahun selepas diagnosis tersebut. Ini menunjukkan, walaupun doktor boleh memberi anggaran, keputusan akhir tetap di tangan Allah.

Allah mengetahui apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku, dan apa yang akan datang. Kita, sebagai manusia, hanya boleh melihat masa lalu dan masa kini-kita tidak tahu apa yang akan datang.

Allah tahu bagaimana pengakhiran hidup kita, tetapi kita diberikan pilihan dan usaha. Jika seseorang akhirnya masuk neraka, itu kerana tindakannya sendiri yang memilih jalan tersebut, meninggalkan ajaran agama, dan tidak mengikuti perintah Allah.

Oleh itu, penting untuk kita faham bahawa takdir tidak menghalang kita dari melakukan kebaikan. Kita boleh berusaha dan berubah-Allah pasti akan memberikan bimbingan kepada sesiapa yang ikhlas mencari kebaikan dan jalan yang benar. – HARAKAHDAILY 19/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -