
KUALA TERENGGANU: Program Terengganu Volunteer Turun Ke Perkampungan Orang Asli di Sungai Pergam, Air Putih, Kemaman merupakan aspirasi Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Menteri Besar meminta agar agensi kerajaan turut memberikan perhatian terhadap hal ehwal Orang Asli sebagai salah satu tanggungjawab pihak kerajaan.
“Alhamdulillah, kelmarin dapat menyempurnakan perasmian Program Terengganu Volunteer Turun Ke Perkampungan Orang Asli di Sungai Pergam,” ujarnya menerusi hantaran di laman sosialnya, semalam.
Katanya, turut Bersama ialah ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, yang sempat menyertai sama acara sukaneka di sebelah petang.
“Sempena program ini, kami berpeluang menyampaikan barangan bantuan buat ketua keluarga dan peralatan sukan buat komuniti Orang Asli untuk dimanfaatkan oleh keluarga dan komuniti,” katanya.
Selain itu, ujar beliau beberapa ziarah kebajikan telah dijalankan ke rumah-rumah warga emas dan yang uzur.
Tambahnya, sesi petang pula dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukaneka seperti tarik tali, tuju gol kecil (wanita), liga penalti (lelaki), dan sukaneka kanak-kanak.

“Insya-Allah, kita akan terus bersama selepas daripada ini dengan pelbagai program yang akan dilaksanakan,” ujarnya yang juga ADUN Tepuh.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Pergam yang hadir pada program tersebut. – HARAKAHDAILY 19/10/2024











