
KUALA LUMPUR: Menghadapi banjir bersama warga emas memerlukan perhatian khusus kerana mereka mungkin mempunyai kesihatan yang lemah dan mobiliti yang terhad.
Skuad Sihat Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dalam satu kenyataan berkata, memberikan beberapa tips untuk memastikan keselamatan dan kesihatan warga emas semasa menghadapi musibah banjir.
“Pertama, jika banjir dijangka berlaku, segera pindahkan warga emas ke tempat yang lebih selamat sebelum air mula naik. Pindahkan mereka ke pusat pemindahan yang mesra warga emas.
“Kedua, pastikan bekalan ubat yang diperlukan oleh warga emas mencukupi, bersama-sama dengan makanan tahan lama, air bersih, lampu suluh, bateri, pakaian hangat, dan selimut.
“Seterusnya, elakkan warga emas dari kawasan yang rendah atau tempat yang boleh dinaiki air. Cabut semua peralatan elektrik dan pastikan mereka tidak berada berhampiran dengan kawasan basah atau licin,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Skuad Sihat DMPM.
Menurutnya lagi, langkah keempat adalah sentiasa memantau tahap kesihatan warga emas secara berkala, terutamanya jika mereka mempunyai penyakit kronik.
“Di samping itu, sediakan juga alat bantu seperti tongkat atau kerusi roda untuk memudahkan pergerakan mereka jika perlu.
“Langkah kelima pula adalah memastikan warga emas mempunyai akses kepada alat komunikasi seperti telefon, dan pastikan mereka berada dalam keadaan tenang dan tidak panik,” katanya.
Selain itu, penyimpanan nombor kecemasan yang boleh dihubungi sangat penting, antaranya, nombor talian kecemasan Bomba & Penyelamat: 999; Polis: 999; Pertahanan Awam (APM): 03-8892 2403; Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM): 03-8000 8000 dan Jabatan Amal Malaysia (JAM): 03-2692 5000.
Katanya, pastikan nombor-nombor kecemasan itu mudah diakses untuk tindakan pantas jika diperlukan semasa banjir. – HARAKAHDAILY 19/10/2024











