
BACHOK: Tiga tokoh agama menerima anugerah masing-masing sempena program Karnival 40 Tahun Pusat Pengajian Pondok (PPP) YIK yang diadakan dekat sini hari ini.
Mereka adalah Sheikh Wazir Che Awang yang dianugerahkan Tokoh Murabbi dan Mohd Yusoff Mohamed (Anugerah Tokoh Ulama) serta Exco Kerajaan Negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Anugerah Tokoh Politik).
Selain dari mereka, seramai 40 orang lagi, menerima Anugerah Jasamu Dikenang di mana semua anugerah disampaikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Program ini diadakan selama dua hari bermula hari ini yang dianjurkan Persatuan Ibu bapa Guru, (PIBG) dan Pusat Pengajian Pondok YIK.
Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, ribuan bekas pelajar pondok dari Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) bertebaran di seluruh negara untuk menyampaikan ilmu yang diperolehi di PPP YIK.
Katanya, sejak pondok berkenaan ditubuhkan 40 tahun lalu, bekas pelajar mereka telah berkhidmat menyampaikan mesej dakwah menerusi bidang masing-masing di seluruh negara.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri berkata, mereka bukan sahaja bertugas sebagai pendidik, sebaliknya bidang profesional lain.
“Hasil didikan pondok YIK ini mereka berkhidmat di seluruh negeri dalam negara ini termasuk ke Sabah, Patani dan Narathiwat,” ujarnya ketika berucap pada majlis Karnival 40 Tahun Pusat Pengajian Pondok YIK, dekat sini hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin dan turut berucap ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Wan Roslan Wan Hamat.
Beliau mengucapkan terima kasih pada orang ramai, persatuan alumni, ibu bapa pelajar seluruh negeri, institusi perbankan dan lain-lain turut menyalurkan sumbangan untuk membaik pulih asrama serta beberapa pembinaan lain. – HARAKAHDAILY 22/8/2024











