
JASIN: Air banjir yang memasuki kawasan rumah adalah sesuatu yang menyukarkan, namun lebih teruk lagi apabila limpahan tersebut merupakan air kumbahan najis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, perkara tersebut telah melanda beberapa buah rumah di Taman Maju, di sini sejak sekian lama.
“Tuan rumah mana yang tak marah kalau setiap kali banjir air melimpah masuk ke dalam rumah. Bukan air hujan tapi air kumbahan yang keluar dari lubang kumbahan membanjiri rumah. Bukan kes baru, tapi dah bertahun-tahun belum selesai.
“Aduan dah berkali-kali dibuat. Yang berkenaan dah banyak kali turun tapi sampai sekarang tiada ada tindakan. Tahun ini sahaja lebih empat kali masalah ini berulang,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka itu menyatakan perkara ini dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Dr Yadzil dalam hantarannya itu mengucapkan terima kasih kepada pihak Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd Melaka kerana melakukan lawatan hari ini bagi melihat sendiri masalah tersebut.
“Biar orang teknikal yang berkaitan menilai keadaan. Insya-Allah tindakan segera akan dilaksanakan. Tindakan jangka masa pendek dan panjang telah dicadangkan.
“Semoga masalah yang bertahun-tahun menghantui penduduk setempat dapat diselesaikan tahun ini. Terima kasih kepada semua pihak yang bertindak professional untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Tambahnya, pihak IWK berjanji untuk melakukan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin dan akan memperincikan perkara itu setelah ia diteliti secara teknikal. – HARAKAHDAILY 22/8/2024












