
BAGAN SERAI: ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria, memohon pihak berwajib agar memantau lokasi yang dikenal pasti untuk projek water transfer berikutan telah diteroka penduduk untuk tanaman pertanian.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana akan menimbulkan implikasi lain apabila projek itu akan dijalankan nanti.
“Saya terima aduan sebab kawasan untuk projek water transfer itu berada di dalam DUN saya. Kerana projek itu tertangguh hampir sembilan bulan, kawasan berkenaan telah diteroka penduduk. Mereka menanam kelapa sawit, limau dan lain-lain,” katanya pada hantaran di media sosialnya, hari ini.
Tambah beliau, projek water transfer itu bagi mengatasi kekurangan air untuk sawah di Kerian setiap kali musim kemarau.
Perkara itu juga ujarnya dimaklumkan kepada jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian, Mohd Fisham Abu Basah, pada pertemuan bersamanya, hari ini. (Foto atas)
Pada pertemuan itu, Razman juga dimaklumkan, projek mendalam serta melebarkan kolam Bukit Merah akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat di kawasan Pondok Tanjung sebagai kesinambungan projek water transfer yang tertangguh, sebelum ini.
“Insya-Allah, pihak JPS bersetuju mengadakan pertemuan bersama wakil peneroka dalam masa terdekat.
“Kerjasama para pegawai JPS, penerangan serta layanan mesra sangatlah dihargai,” katanya lagi.
Dalam pada itu jelasnya, lokasi yang terlibat dengan water transfer itu merupakan kawasan yang telah digazet atau warta kolam di mana sebarang penerokaan tidak akan dibenarkan bagi menjaga kelestarian kolam. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











