
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) hari ini mengesahkan penyerang import dari Guinea-Bissau, Valdumar Augusto Te akan meninggalkan kelab dan berpindah ke liga luar negara.
Ia berlaku berikutan kontrak semasa pemain itu dengan skuad Sang Kijang Emas telah berakhir.
KDN FC pada kenyataan medianya memberitahu, pada masa yang sama, Valdumar juga dilaporkan akan menyertai sebuah kelab di Liga Libya selepas ini.
“Valdumar dibawa masuk pada awal musim Liga Malaysia tempoh hari telah beraksi sebanyak sembilan perlawanan, termasuk satu perlawanan pusingan 16, Piala FA menentang JDT FC.
“Dia bagaimanapun sulit untuk menyesuaikan diri dengan skuad kendalian Park Jaehong sekali gus memutuskan untuk tidak menyambung kontrak,” kata kenyataan itu lagi.
Pemain berusia 26 tahun iTU sentiasa menunjukkan komitmen tinggi, bersikap profesional selain sentiasa memberikan yang terbaik kepada kelab dan pasukan sejak dibawa masuk pada April lalu.
Kata kenyataan itu lagi, pihak pengurusan kelab merakamkan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya pada masa depan kepada Valdumar.
Menurut KDN FC, pihaknya tetap bangga dengan sumbangan yang diberikan, terutama pada setiap sesi latihan dan perlawanan rasmi melibatkan pasukannya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











