
KUALA LUMPUR: Kejayaan serta prestasi yang dicapai Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad hari ini adalah hasil komitmen yang digalas bersama oleh semua kakitangan dan warga kerja, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili.
Menurutnya, sepanjang berada di EPIC Berhad sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan bermula 2022 dan secara rasmi memulakan tanggungjawab sebagai CEO Kumpulan pada April lalu, beliau percaya semua kakitangan telah banyak melakukan kemajuan dan sentiasa mencari ruang penambahbaikan sebagai satu pasukan.
Ini, ujarnya termasuklah prestasi cemerlang 2023 dan separuh 2024, di mana keputusan kewangan terkini sudah melangkaui sasaran serta mengatasi prestasi tempoh yang sama tahun lalu.
“Alhamdulillah, Kumpulan EPIC berjaya mengekalkan momentum positif dengan catatan jumlah perolehan RM195.5 juta bagi separuh tahun pertama tahun 2024, RM33.9 juta lebih tinggi berbanding RM161.6 juta ketika separuh tahun pertama tahun 2023,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Selain itu, katanya perkembangan positif itu membolehkan pihak syarikat menjana keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM19.9 juta, rekod yang begitu memberangsangkan berbanding kerugian RM0.5 juta ketika tempoh yang sama tahun lalu.
Tambahnya, bukan itu sahaja, kenaikan ketara itu sudahpun melebihi sasaran keseluruhan PAT RM14.5 juta yang diluluskan bagi tahun 2024.
Katanya, suka beliau kongsikan bahawa prestasi dan perkembangan positif syarikat telah menjadikan EPIC Berhad syarikat pilihan ramai (company of choice).
“Alhamdulillah, baru-baru ini kita juga telah menerima beberapa kontrak dan projek baharu, menjalin pelbagai hubungan kerjasama industri dan merangkul pengiktirafan serta penganugerahan.
“Saya sangat bermotivasi dengan pencapaian tersebut dan saya yakin kita mampu melakar kejayaan yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Jadi, katanya untuk beberapa bulan ke hadapan serta tahun-tahun mendatang, beliau ingin memberikan penekanan akan betapa pentingnya peranan seluruh warga kerja dalam merancakkan trajektori prestasi syarikat.
Beliau berharap semoga apa jua perancangan dan ruang penambahbaikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi mencapai ketetapan matlamat serta sasaran.
“Dalam keghairahan meningkatkan pencapaian syarikat, adalah penting untuk kita mencari keseimbangan hidup dan kerja (work-life balance),” katanya sempena EPIC Berhad Staff Appreciation Dinner 2024 di Kuantan, malam semalam. (Foto atas)
Oleh hal yang demikian, ujar beliau pihak pengurusan dengan kerjasama Kelab EPIC telah membentuk Jawatankuasa Work Hard, Play Hard, and Pray Hard (WHP2H) bagi merancang pengisian interaktif yang akan diumumkan dari semasa ke semasa untuk disertai oleh semua warga kerja.
“Saya yakin kita berada di atas landasan yang betul untuk memenuhi agenda memperkasakan organisasi dan menjadikan EPIC Berhad sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan Negeri Terengganu terkemuka di Malaysia dan insya-Allah di peringkat antarabangsa,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau amat mengharapkan sokongan padu daripada semua pekerja untuk terus menyokong serta melaksanakan semua strategi yang telah dirangka.
“Perlu juga diingat, kecemerlangan kita tidak hanya diukur dengan hasil yang kita capai, tetapi juga dengan semangat kerja berpasukan dan nilai-nilai yang kita pegang teguh,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 11/8/2024











