
KUANTAN: “Walaupun sumber kewangan sangat terhad, kena usahakan juga simpanan bekalan barang dapur, sekurang-kurangnya beras,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu.
Menurutnya, kadang-kadang ada orang datang ke pejabat beliau bertanyakan sumbangan barang dapur.
“Ada juga kes-kes kecemasan yang diajukan kepada pihak saya,” katanya menerusi satu catatan di laman sosialnya.
Tambahnya, barangan itu juga sebagai buah tangan apabila menziarahi keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik dan memerlukan.
Belaiu berkata, jadi ikut manapun memang perlu mencari sumber kewangan untuk menyediakan barang-barang keperluan harian.
“Alhamdulillah, ada sahabat-sahabat dan orang ramai yang selalu hulurkan sumbangan sedikit sebanyak bagi meringankan beban tanggungan kewangan kami pada setiap bulan,” ujarnya.

Menurutnya, prinsip tatakelola kerajaan Madani sememangnya tidak menyediakan peruntukan kepada ADUN pembangkang seperti beliau sama ada kerajaan negeri mahupun persekutuan.
“Terpaksalah mengharapkan sumbangan awam,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.
Oleh itu, beliau amat mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai yang sudi untuk berkongsi rezeki dengan ahli-ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
“Kepada semua para dermawan, terima kasih banyak sudi bantu saya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya dengan sebaik-baik balasan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2024











