
GUA MUSANG: Impian generasi kedua peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) tinggal di rumah sendiri berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi.
Sehingga sekarang rumah mereka tiada bekalan elektrik biarpun permohonan untuk mendapat sokongan pengurusan Kesedar sudah lama dibuat.
Rumah yang dibina generasi kedua sudah siap sepenuhnya, namun permohonan mereka untuk mendapat bekalan elektrik didakwa tidak dilayan.
Situasi itu dialami ramai generasi kedua Kesedar dan Felda apabila rumah yang sudah lama siap dibina tidak disambung bekalan elektrik.
Pesara tentera, Mohd Nazri Zaini, 43, berkata, rumahnya yang dibina dengan kos RM280,000 sudah lama siap, namun permohonan untuk mendapat bekalan elektrik tidak dilayan.
Katanya, agensi kerajaan itu banyak berdolak dalik dan meletakkan syarat-syarat tidak masuk akal.
“Sedangkan sebelum saya membina rumah, Kesedar menghantar pegawai Unit Ukur bagi meninjau tapak rumahnya yang diratakan.
“Mereka memberi kelulusan, namun selepas kerja-kerja pembinaan hampir separuh siap agensi kerajaan Pusat terbabit melarang pula.
“Nak sambung bekalan elektrik mereka tidak beri sokongan. Rumah saya sudah dua tahun siap tetapi sehingga kini tidak mendapat kelulusan pihak pengurusan Kesedar bagi memohon bekalan elektrik dengan TNB,” katanya.

Bagaimanapun Nazri membuat sambungan bekalan elektrik dari rumah ibunya yang terletak bersebelahan.
Beliau turut memasang panel solar memandangkan surat sokongan bagi mendapat bekalan elektrik dengan TNB tidak dilayan pengurusan Kesedar.
Seorang lagi generasi kedua peneroka Janarul Haswaf, 44, berkata, golongan muda yang tinggal di kawasan rancangan kemajuan tanah berdepan masalah untuk membina rumah kerana tiada lot disediakan agensi terbabit.
Sedangkan katanya Kesedar mempunyai tanah yang luas sesuai untuk dijadikan lot bagi generasi kedua membina rumah. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











