
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu 2024 yang diadakan bersempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang disambut dari 1 hingga 7 Ogos setiap tahun, Skuad Sihat Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menzahirkan ucapan kepada semua wanita yang bergelar ibu dalam meraikannya.
Tema sambutan pada tahun ini adalah ‘#Rapatkan Jurang: Sokong Susu Ibu Sepenuhnya’ Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia tahun ini menyatakan komitmen terhadap usaha mempromosi, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 233 bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu”
Skuad Sihat dalam kenyataannya berkata banyak manfaat yang ditawarkan, ia bukan sahaja membantu dalam pertumbuhan dan perkembangan fizikal bayi, tetapi juga memberikan perlindungan terhadap pelbagai penyakit.
Kenyataan itu menyenaraikan lapan manfaat susu ibu kepada bayi.
“Pertama, pemakanan yang unggul. Susu ibu adalah pemakanan yang terbaik untuk bayi kerana ia memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan bayi.
“Ia mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk memastikan bayi berkembang dengan sihat dan sempurna,” jelasnya.
Tambahnya, manfaat kedua ialah antibodi tinggi.
“Susu ibu kaya dengan antibodi yang membantu melindungi bayi daripada pelbagai jangkitan.
“Antibodi ini memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan sistem imun bayi, menjadikannya lebih tahan terhadap penyakit,” ujar kenyataan itu.
Manfaat ketiga ialah ia sentiasa tersedia.
“Salah satu kelebihan besar penyusuan susu ibu ialah ia tidak memerlukan sebarang persediaan dan sentiasa tersedia pada bila-bila masa.
“Ini memudahkan ibu untuk memberikan susu kepada bayi tanpa perlu bimbang tentang penyediaan dan penyimpanan,” jelasnya.
Sementara manfaat keempat, bertindak sebagai laksatif.
Menurut kenyataan Skuad Sihat, susu ibu bertindak sebagai laksatif yang membantu mengeluarkan mekonium dan mengurangkan risiko jaundis (penyakit kuning) pada bayi yang baru lahir. Ini membantu dalam memastikan sistem pencernaan bayi berfungsi dengan baik dari awal.
Seterusnya manfaat kelima adalah ia mengandungi DHA (Docosahexaenoic Acid) dan dan AHA (Alpha hydroxy acid).
“Susu ibu mengandungi DHA dan AHA yang penting untuk perkembangan otak bayi.
“Nutrien ini memainkan peranan penting dalam memastikan perkembangan kognitif dan penglihatan yang baik,” katanya.
Keenam, mudah dihadam. Susu ibu mudah dihadam dan tidak membebankan organ dalaman bayi. Ini membantu dalam memastikan sistem pencernaan bayi berfungsi dengan lancar dan mengurangkan risiko masalah pencernaan.
Ketujuh, mengurangkan risiko penyakit. Penyusuan susu ibu mengurangkan risiko alahan, diabetes, obesiti, dan hipertensi pada bayi. Ini memberikan bayi permulaan hidup yang lebih sihat dan mengurangkan risiko pelbagai penyakit pada masa akan datang.
Kelapan, berubah mengikut keperluan bayi. Susu ibu berubah-ubah mengikut keperluan bayi. Komposisinya akan berubah dari masa ke masa untuk memenuhi keperluan nutrisi bayi yang semakin meningkat, memastikan bayi sentiasa mendapat nutrien yang diperlukan.
Kesimpulannya, penyusuan susu ibu adalah langkah penting untuk memastikan bayi mendapat permulaan hidup yang terbaik.
“Dengan banyak manfaat yang ditawarkan, ia bukan sahaja membantu dalam pertumbuhan dan perkembangan fizikal bayi, tetapi juga memberikan perlindungan terhadap pelbagai penyakit,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











