
GUA MUSANG: Pemilihan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail dianggap sebagai keputusan yang tepat.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, tidak timbul sebarang masalah apabila PAS mencadangkan nama calon daripada ahli parti itu sebagai mewakili Bersatu.
Kata beliau Bersatu mencari calon yang sesuai bagi menggantikan mantan ADUN sebelum ini Mohd Azizi Abu Naim yang mengkhianati mandat rakyat.
“Ada beberapa calon yang kita kenal pasti tetapi akhirnya kami tengok ada seorang iaitu Ustaz Wadi, tidak timbul soal PAS minta calon daripada ahli PAS menjadi calon Bersatu.
“Saya sebagai Ahli Majlis Tertinggi Bersatu nak tegaskan Bersatu yang cari calon pada masa itu tak kira parti. Bagi kita undi PAS undi Bersatu, undi Bersatu undi PAS,” katanya ceramah PN di Unit Daerah Mengundi (UDM) Meranto di sini malam tadi.
Menurutnya juga pemilihan Mohd Rizwadi bagi memenuhi aspirasi anak muda yang merupakan majoriti pengundi iaitu 62 peratus golongan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, calon PN tinggal di kawasan pilihan raya, sebaliknya calon BN pula di tempat lain.
“Seorang calon mengundi di sini, nama dia Ustaz Wadi dan seorang lagi tak mengundi di sini, nama dia tuan-tuan tahu lah,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











