
KUALA LUMPUR: “Tuduhan yang dibuat oleh Setiausaha Kelab Veteran Umno yang mendakwa tindakan PAS melepaskan Timbalan Ketua Pemuda kawasannya untuk menyertai Bersatu lalu diangkat menjadi calon dikatakan sebagai ‘melacurkan’ itu dilihat sebagai ‘sangat hodoh’.”
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, semetelah ayat tersebut keluar dari mulut seorang pemimpin veteran yang sepatutnya bersifat negarawan dan di hujung usia hanya bertutur perkara nasihat dan yang baik-baik.
“Menuduh PAS menggadai maruah parti dan mencemari perjuangan Islam yang ia dukung cukup jahat dan biadab.
“Beliau tidak sedar PAS hari ini adalah parti Melayu Islam terbesar dalam negara atas kepercayaan dan dukungan umat Melayu setelah mereka mual dan muak dengan gelagat dan tabiat kepimpinan Umno.
“Yang rakyat tahu, pihak yang telah menjual maruah perjuangan ummah sesungguhnya adalah parti Umno apabila menepis tangan yang dihulur Perikatan Nasional (PN) untuk membina kekuatan politik Penyatuan Ummah.
“Tetapi sebaliknya, Umno memilih berdakap dan berpelukan dengan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP semata-mata memenuhi tuntutan nafsu pimpinannya.
“Walau dulu bermatian mendesak umat Melayu jauhkan diri dari DAP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan membuktikan sesungguhnya selera rakyat khasnya umat Melayu Islam hari ini adalah kepada politik Penyatuan Ummah dan menolak mereka yang telah menggadaikan prinsip kerana laparkan jawatan dan mahu selamatkan diri.
“Cukup-cukuplah memalukan ummah. Masuklah PRK ini, ia gelanggang demokrasi, namun berkempenlah dengan memelihara adab dan akhlak. Tambah (pula) yang bertanding kita sesama Melayu Islam.
“Pihak terdesak yang tergamak mengguna istilah kesat, kotor dan lucah sesungguhnya adalah pihak yang ketandusan idea dan merasa dirinya terancam,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan the Setiausaha Kelab Veteran Umno baru-baru ini menuduh kononnya tindakan PAS melepaskan Timbalan Ketua Pemuda kawasannya (Gua Musang), Mohd Rizwadi Ismail untuk menyertai Bersatu lalu diangkat menjadi calon PRK Nenggiri adalah satu tindakan ‘melacurkan’ Rizwadi kepada Bersatu, semata-mata untuk memenuhi nafsu politik PAS di Nenggiri.
Tokoh veteran Umno itu dipetik sebagai berkata, ‘Pengundi dan penyokong PAS Nenggiri dinasihatkan supaya jangan bersubahat dengan kepimpinan PAS yang telah secara terang-terangan, menggadai maruah parti apabila sanggup menjual Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang kepada Bersatu untuk bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRK tersebut.
‘Perbuatan itu amat hina di sisi Islam dan adat berpolitik PAS yang mengaku sebagai parti politik Islam yang berjuang atas dasar Islam.’
Roslan berkata, apa yang disepakati dan disusun antara PAS dan Bersatu dalam semangat permuafakatan PN adalah urusan rumah tangga PN.
“Masuk campur urusan (hal) rumah tangga orang lain itu berakhlak sangatkah?” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











