Pengiktirafan suntik semangat, inspirasi kepada penjawat awam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 60 penjawat awam Negeri Terengganu terdiri daripada kumpulan pengurusan dan professional serta pelaksana di bawah jabatan dan agensi negeri ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam majlis yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap pengiktirafan yang diberikan akan terus menyuntik semangat dan inspirasi kepada semua penjawat awam yang lain untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang di masa yang akan datang.

Beliau berkata, setiap penjawat awam perlu diingatkan bahawa kerja bukan sekadar tugas atau tanggungjawab tetapi amanah yang perlu dilaksanakan.

“Melaksanakan amanah yang tidak boleh dibuat oleh gunung-ganang dan lain-lain tapi dilaksanakan oleh manusia, bila melaksanakan amanah dia ada perkiraan dosa dan pahala.

“Akhirnya kita akan menghadap Allah taala. Yang dapat gaji itu, dapatlah gaji, tapi kita akan ditanya oleh Allah taala, apakah kita melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita ini dengan sebaik-baiknya.

“Yang sebahagian daripada ulama ada menyebut bahawa tugas khilafah seperti kita ini melaksanakan amanah, selain daripada tugas ibadah kita kepada Allah SWT ialah menegakkan agama dan mengurus tadbir, mengurus negara, mengurus dunia ini berdasarkan panduan agama.

“Insya-Allah, kalau kita melaksanakan demikian, kita akan selamat di dunia, tak selamat di dunia pun, kita akan selamat di akhirat di mana pada waktu itu tidak ada benda lain yang lebih besar, yang paling besar dalam objektif kehidupan kita selain daripada kita untuk selamat di hari yang tidak ada kuasa yang paling besar kecuali kekuasaan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis APC Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman bagi tahun 2024, di sini, hari ini.

Samsuri turut menyatakan bahawa cabaran terbesar dalam perkhidmatan awam kini adalah menghadapi zaman yang baharu dengan ekpektasi tinggi daripada rakyat.

Oleh itu, kata beliau, pembaharuan berterusan diperlukan supaya perkhidmatan awam sentiasa responsif, relevan yang akhirnya berkesan dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

- Advertisement -