
KANGAR: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Hari Anugerah Kecemerlangan dan Kokurikulum 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen di Jalan Padang Behor, di sini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengetua Sekolah, Lili Mariam Mohammad@Mokhtar dan Timbalan Pengarah Pendidikan Perlis (Sektor Pengurusan Sekolah), Hamidi Md Saad, semalam.
Sekolah ini telah berjaya memperoleh kelulusan 100 peratus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.44 berbanding 3.60 pada tahun 2022 bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.
Seramai dua orang pelajar telah memperoleh 9A, enam pelajar memperoleh 8A, tujuh pelajar memperoleh 7A, tujuh pelajar memperoleh 6A dan selebihnya memperoleh 5A ke bawah.
Menurut Lili Mariam, pelbagai program telah dirancang bagi meningkatkan lagi prestasi pelajar menerusi kelas tambahan, Mentor-mentee, Cuti-Cuti Cari Ilmu, Bengkel Teknik Menjawab dan Kem Kecemerlangan.
“Saya amat berharap agar dengan kerjasama dan kesungguhan semua pihak iaitu guru-guru, murid-murid, PIBG, Jabatan Pendidikan, dan ibu bapa, sekolah ini akan terus meningkat kecemerlangannya pada tahun berikutnya,” ujar beliau.
Tuanku Dr Lailatul Shahreen pada majlis itu berkenan menyempurnakan simbolik perasmian hari anugerah cemerlang tersebut dan mengurniakan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada Affan Abqari Abdul Razak.
Beliau merupakan Tokoh Nilam Bahasa Melayu Negeri Perlis, Johan Deklamasi Sajak Bulan Kebangsaan, dan penerima Anugerah Pelajar Harapan SPM 2023 dengan keputusan 9A bagi peperiksaan SPM 2023.
Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anugerah Pencapaian Terbaik SPM 2023 kepada 22 orang pelajar dan Pengurniaan Anugerah Harapan Akademik.
Juga Anugerah Kecemerlangan Sukan, Anugerah Kecemerlangan Koakademik serta Anugerah Kepimpinan Murid kepada empat pelajar, selain majlis diserikan lagi dengan persembahan syair, nyanyian, dan tarian. – HARAKAHDAILY 4/8/2024











