
SEOUL: Gambar yang menunjukkan atlet ping pong dari Korea Utara dan Korea Selatan mengambil swafoto bersama sewaktu di podium pingat Sukan Olimpik Paris menjadi tular di Korea Selatan dan dipuji sebagai tindakan perpaduan rentas sempadan yang jarang berlaku.
Situasi itu berlaku apabila atlet dari Korea Utara, Ri Jong Sik dan Kim Kum Yong; atlet dari China, Wang Chuqin dan Sun Yingsha serta Shin Yu-bin dari Korea Selatan bertindak memandang ke arah telefon Lim Jonghoon bagi mengambil swafoto antara mereka selepas penyampaian pingat, lapor CNA.
Penyiar televisyen di Korea Selatan telah berulang kali menyiarkan gambar dan video swafoto itu, dengan ramai pengulas berbicara mengenai kepentingan detik perpaduan yang jarang berlaku di antara kedua-dua negara Korea yang terpisah itu.
“”Inilah semangat sebenar Sukan Olimpik,” kata seorang pengulas mengenai situasi itu.
Sementara itu, akhbar harian kebangsaan Korea Selatan, JoongAng Daily menulis, “swafoto dengan kedua-dua bendera kebangsaan Korea dan telefon Samsung.”
Dalam perlawanan akhir beregu campuran itu menyaksikan pingat emas dimenangi oleh atlet dari China, pingat perak dimenangi oleh atlet Korea Utara manakala pingat gangsa dimenangi oleh atlet Korea Selatan.
Ia adalah kali pertama Korea Utara berada di podium Olimpik sejak 2016, kerana mereka tidak menghantar atlet ke Sukan Olimpik Tokyo pada 2021 disebabkan oleh wabak COVID-19.
Korea Utara yang terkenal dengan senjata nuklearnya sebelum ini mengisytiharkan Korea Selatan sebagai musuh utamanya pada awal tahun ini, dan ketegangan antara kedua-dua negara tersebut berada pada satu titik tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. –HARAKAHDAILY 2/8/2024











