Kelahiran tidak beri makna tanpa jasa kepada Islam

- Advertisement -

KANGAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata,  kelahiran seseorang tidak membawa makna besar kepada sejarah Islam kecuali jika disertai dengan jasa besar kepada pembangunan Islam.

- Advertisement -

Beliau menyuarakan demikian ketika diraikan ulang tahun ke-86 baru-baru ini dan merakamkan penghargaan kepada semua yang mengingati dirinya serta berharap terus berjuang hingga akhir hayat.

“Saya seorang yang lemah dan tidak banyak apa yang saya lakukan untuk Islam. Saya tidak merasa bahawa kelahiran dan umur saya yang kini mencecah 86 tahun adalah sesuatu yang besar.

“Namun, saya bersyukur kerana Allah telah memanjangkan umur saya dan memberi kekuatan untuk terus istiqamah dengan jemaah ini,” ujar beliau.

Tuan Guru dilahirkan di Kampung Changkat Jawi, Arau Perlis pada 1 Ogos 1939. Beliau mula belajar di Sekolah Melayu Jelempuk selepas Perang Dunia Kedua, sebelum memasuki Madrasah Alawiyah, Arau pada tahun 1950.

Sejarah terlibat dengan politik

Ketika berada di Madrasah Alawiyah, beliau mula terdedah dengan pergerakan Islam apabila bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah, Sheikh Taqiyuddin Qandil, menjadi mudir (pengetua) di sana.

Sheikh Taqiyuddin Qandil berkhidmat di madrasah tersebut selama empat tahun (1953-1956).

Beliau berperanan menggerakkan pelajar Islam di Madrasah Alawiyah, Arau dan Maktab Mahmud, Alor Setar sehingga tertubuhnya Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) dan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) pada 1954, yang merupakan sayap pelajar PAS ketika itu.

Tokoh lain yang berpengaruh di Perlis pada waktu itu ialah Sheikh Abu Bakar al-‘Asyari, Imam Masjid Arau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis.

Pada 1958, PAS telah melantik Ustaz Abu Bakar Hamzah yang berasal dari Sanglang, Perlis sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala bekas Yang Dipertua Persatuan Imam Seluruh Perlis, Ustaz Ahmad Long merupakan Pesuruhjaya PAS Perlis ketika itu.

Pengajian di Iraq

Selepas menamatkan pengajian di Madrasah Alawiyah, Tuan Guru sering mengikuti abangnya, Ustaz Ibrahim Yasin, bergerak dalam PAS sehingga dilantik menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis pada tahun 1962.

Setelah dua tahun menerajui Dewan Pemuda PAS Perlis, beliau melanjutkan pelajaran di Iraq menerusi biasiswa Kerajaan Iraq pada tahun 1964.

Sepuluh orang pemuda PAS terpilih menerima biasiswa tersebut, antaranya Ustaz Hassan Shukri (bekas Timbalan Presiden PAS), Ustaz Dato’ Mohamad Daud Iraqi (bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat) dan Ustaz Dahlan Mohd Zain (pengasas ABIM Perlis).

Juga Ustaz Abdul Rahim Mohd Zain (pensyarah Universiti Malaya), Prof Hasbullah Kasban (pensyarah UTM), serta Tuan Guru Ustaz Jaliluddin Abdul Wahid (bekas Pesuruhjaya PAS Melaka).

Mereka kemudiannya menubuhkan Persatuan Melayu Iraq di mana beliau adalah antara ahli jawatankuasanya dari tahun 1964 hingga 1968. – HARAKAHDAILY 2/8/2024

- Advertisement -