
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan status ucapan takziah ke atas pemergian syahid Ketua Biro Politik Hamas, Syeikh Ismail Haniyeh.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang, menyatakan ketidakpuasan hati apabila kandungan media sosial bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut diturunkan di Facebook.
“Adakah kenyataan mengutuk kekejaman yang mengorbankan nyawa merupakan satu kesalahan sehingga kenyataan tersebut diturunkan dari bacaan awam?
“Apakah tindakan mencela pembunuhan kejam dan mengutuk jenayah genosid diklasifikasikan sebagai melanggar piawaian komuniti standard?
“Komuniti standard mana yang diterima masyarakat? Pembunuhan kejam atau mengutuk pembunuhan kejam?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Khamis.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, rakyat Malaysia seharusnya melihat perkara ini sebagai satu lagi usaha untuk melemahkan tindakan mengutuk kekejaman dan kezaliman.
“Paling penting, rakyat mahu melihat pendirian kerajaan Malaysia yang lebih jelas dan tegas terhadap perlakuan syarikat-syarikat antarabangsa seperti ini. Siapa sebenarnya musuh kita?” katanya.
Terdahulu, video ucapan takziah dan kritikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap pembunuhan pemimpin Hamas di Tehran, Iran turut diturunkan dari laman media sosial berkenaan tidak sampai 24 jam setelah ia dimuat naik, pada Rabu lalu. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











