
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) dengan penuh kesedaran menyatakan sokongan teguh terhadap kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengutuk dengan tegas serangan yang dilakukan oleh Israel di ibu kota Iran, Tehran.
“Kami mendukung kenyataan Presiden PAS mengecam perlakuan kejam Israel yang telah mengorbankan nyawa Ketua Politik Pasukan Pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh dan pengawalnya,” kata Ketua DMPNS, Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan.
DMPNS turut menyampaikan ucapan takziah yang sangat mendalam kepada keluarga Ismail Haniyeh.
“Semoga mereka dianugerahkan rahmat dan ganjaran syahid di sisi Allah SWT.
“Kami yakin bahawa seluruh dunia perlu bersatu dalam mengutuk tindakan kejam Israel serta menjadikan keadilan dan kebenaran sebagai landasan dalam menyelesaikan konflik di Gaza,” katanya menerusi satu kenyataan media di Facebook DMPNS.
Beliau berkata, perjuangan untuk Palestin tidak pernah berakhir dan sokongan daripada DMPNS tidak akan pernah luntur.
Dengan penuh semangat dan keazaman, DMPNS berdiri teguh bersama Presiden PAS dalam menghadapi ancaman kezaliman dan kejahatan yang dilakukan oleh Israel. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











