
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, disahkan sudah meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada jam kira-kira 12.25 tengah hari tadi.
Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS Kluang, Mohd Nor Mohamad, mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu perkhabaran duka.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan arwah bersama golongan mereka yang beriman.
“Semoga seluruh keluarga arwah diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Sharifah Azizah dilaporkan dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami pendarahan dalaman, Rabu lalu.
Beliau juga pernah dilaporkan mendapatkan rawatan di hospital sejak Mac lalu berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Allahyarhamah yang juga Ketua Wanita Umno Kluang adalah bekas Ketua Wanita Umno Johor. Beliau menang kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











