
GUA MUSANG: Sejak menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera sehingga sekarang lebih lapan tahun Mohd Rizwadi Ismail berbakti kepada masyarakat di Bertam Lama dan Gua Musang.
“Ustaz Wadi boleh dikatakan sebagai tempat bergantung orang kampung. Kalau penduduk kampung hendak adakan solat hajat, tahnik bayi dan tahlil mereka datang bertemu Wadi.
“Penduduk sini panggil namanya sebagai tok imam. Wadi boleh mengajar kitab agama, berceramah dan jadi imam solat.
“Kalau dapat mikrofon berjam-jam boleh kuliah,” kata bapa mertuanya, Che Noh Che Semuk, 80, ketika ditemui di rumahnya di Bertam Lama, semalam.
Beliau dan isteri tinggal bersama Razwadi sekeluarga di rumah tersebut yang terletak di laluan Limau Kasturi-Jerek.
Lokasi itu terdapat empat rumah milik anak-anaknya yang terletak agak jauh daripada rumah penduduk lain.
Che Noh berhijrah ke Bertam Lama sekitar tahun 1970-an dari Wakaf Bharu, Tumpat menjejaki ayahnya. Malah datuknya datang ke Bertam sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Hanya perkhidmatan kereta api menjadi pengangkutan utama. Turun di stesen kereta api Bertam Lama beliau terpaksa berjalan kaki sejauh hampir 2 kilometer dalam hutan sebelum sampai ke rumahnya.
Che Noh turut berpendapat menantunya itu mempunyai ketokohan sebagai seorang pemimpin kerana mempunyai ilmu agama dan sering menyampaikan kuliah agama di merata tempat.
Katanya, biarpun Rizwadi yang mesra dengan panggilan Ustaz Wadi tidak mendapat pendidikan secara formal dalam bidang agama, namun ketika berkhidmat sebagai anggota tentera beliau mengambil kesempatan menimba ilmu secara sambilan.

“Saya doakan Ustaz Wadi menjadi pilihan penduduk di DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini. Setiap malam saya tidak lupa solat hajat dan berdoa semoga ada pemimpin muda yang mampu membela nasib penduduk kampung,” ujarnya.
Perasaan serupa turut diluahkan isterinya Siti Hanisah Jusoh, 80, kerana Ustaz Wadi dekat dengan penduduk kampung.
“Di sini orang panggil namanya sebagai imam. Beliau juga menjadi imam di sekolah tahfiz yang tidak jauh dari sini,” ujarnya.
Isteri Rizwadi, Che Mariam, 41, meluahkan dia begitu terkejut kerana suaminya dicalon mewakili PN bagi mempertahankan kerusi DUN Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini.
Menurutnya beliau tidak menjangka sama sekali biarpun suaminya terlibat aktif dalam PAS sejak di bangku sekolah lagi.
“Saya terima dengan hati terbuka segala keputusan dibuat pemimpin PAS bagi kebaikan rakyat di Nenggiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











