Agenda muslihat licik usir Melayu dari bandar

Akta Pembaharuan Semula Bandar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta Pembaharuan Semula Bandar yang dijangka dibentang di Parlimen pada persidangan akan datang sebenarnya merupakan agenda tersembunyi muslihat licik sebuah parti politik untuk menguasai negara ini.

- Advertisement -



Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Iszuree Ibrahim yang juga Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang berkata, atas nama pembangunan, bandar-bandar sedia ada terutama binaan lama akan dimajukan semula.

“Kononnya untuk memenuhi pasaran permintaan dan penawaran serta mencetuskan kegiatan ekonomi setempat. Hakikatnya, berlapik pelbagai rangka perundangan dan pemajuan tersebut, politikus dari parti berkenaan dengan didukung rakan subahat berkepentingan mereka, serta para pelabur kapitalis memainkan peranan.

“Sasaran berfokus mereka seringkali kepada kawasan kependudukan atau penempatan orang Melayu atau Bumiputera, lebih-lebih lagi yang berpendapatan rendah atau miskin iaitu dalam golongan M40 dan B40,” ujar beliau.

Dedah beliau, gerakan fizikal dari agenda muslihat licik parti politik itu bertindak memanipulasikan demografi penduduk menerusi ‘pengusiran’ terancang dan strategik, hingga akhirnya melenyapkan populasi utama yakni orang Melayu dari satu-satu kawasan.

Jelasnya, dengan kuasa dipegang parti politik tersebut, perancangan dilakukan ke arah melakukan pengambilalihan kediaman dan tanah, lalu berlaku perpindahan penduduk asal terutama orang Melayu atau rakyat miskin yang bagaikan ‘pergi tidak kembali’.

Menurutnya, pembangunan yang diadakan bukan sahaja merubah wajah kepada serba baharu dan moden, tetapi menghilangkan juga ‘kehidupan’ asal, termasuk nama dan sejarah asal-usul kawasan atau penempatan tersebut.

“Semakin tidak kedengaran lagi nama Kampung Abdullah Hukum setelah dijenamakan sebagai KL Eco City; Seputeh pula lebih dikenali sekarang dengan sebutan Midvalley; Damansara pula dengan panggilan The Curve dan Dang Wangi kini Capsquare.

“Juga banyak lagi nama lain seperti Mont Kiara, Subway Velocity, Bangsar South, Sentul West, KL Metropolis, Bukit Bintang City Center, KLCC Platinum Park, Tun Razak Xchange dan sudah tentu banyak lagi akan diubahlenyapkan,” ujarnya.

Terkini beritahunya, diumumkan sebanyak 139 kawasan meliputi 1,300 ekar tanah dalam Kuala Lumpur telah disenaraikan untuk pembangunan semula di mana 91 daripadanya merupakan tapak kediaman yang termasuk dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

“Lihat akibatnya apabila parti tersebut memerintah negeri Pulau Pinang yang menyebabkan kampung tradisi warisan Melayu luput dari peta negeri seperti Kampung Batu Uban, Kampung Teluk Kumbar, Kampung Dalca, Kampung Mutiara dan banyak lagi.

“Malah, banyak penempatan lain sedang berada dalam ancaman serupa dirakusi gandingan politikus dan pemaju yang membangunkan perumahan dan premis super mewah dengan harga tidak mampu dimiliki orang Melayu,” ujarnya.

Iszuree turut mengingatkan supaya jangan dilupa tragedi sama juga pernah berlaku di Ibu Negara melibatkan Kampung Chubadak, Kampung Aman dan Kampung Berembang, serta terbaharu Kampung Setia Jaya dan Kampung Sungai Baru di Kampung Baru.

Sebelum itu katanya, rakyat dikejutkan dengan tindakan di Selangor yang menyebabkan pemastautin di Kampung Desa Mukmin Warisan, Kampung Sungai Chinchin dan Kampung Sri Makmur terusir dari tanah diduduki.

Menurut beliau, ketamakan kuasa parti politik ala-penjajah yang menjalankan agenda ‘pecah dan perintah’ ini bahkan dipanjangkan langkah secara terang-terangan untuk melibatkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura.

Sedangkan bidasnya, semua pihak tahu peranan HDB dalam merangka dan melaksanakan polisi serta pembangunan yang mencatur komposisi demografi kependudukan hingga Melayu Temasik sudah lama pupus ditelan wajah baharu negara pulau itu.

“Kawasan kediaman tradisi dan warisan orang Melayu yang asalnya terdapat di bawah 1,000 penduduk, tetapi pemajuan pembangunan dengan memasukkan penduduk baharu yang majmuk hingga 100 kali ganda merubah segalanya.

“Bahkan penduduk asal yang konon-kononnya dialihpindahkan sementara dan dibiayai sewa, dengan terdirinya perumahan mewah menyebabkan hanya mampu tengok, tanpa dapat memiliki menjadikan mereka ‘yang dicari tak dapat, yang dikendong tercicir’,” kesalinya.

Kata beliau lagi, bahayanya gerakan mereka tersebut hinggakan mampu untuk menguasai tampuk kekuasaan pemerintahan negara melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya yang boleh dibuat, seterusnya memperoleh majoriti kerusi di Parlimen.

“Jeliknya, apabila kawasan-kawasan kononnya membangun mewah ini sering terbongkar kewujudan kegiatan gelap seperti pelacuran, ‘scammer’, kongsi gelap, dadah, arak, judi dan lain-lain melibatkan sindiket dan kartel.

“Apakah wujud ‘kuasa’ melindungi semua kegiatan jenayah dan kecurangan ini mengaut sesuatu kepentingan tertentu, namun hakikatnya membunuh kehidupan dayahuni yang aman sejahtera, kepada gerakan kerosakan dan malapetaka?” pertikai beliau.

Iszuree yang berpengalaman bersama parti tersebut sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang turut menegaskan bahawa masalah dinyatakannya itu sedang menjalar menerusi rancangan Koridor Pakatan pihak berkenaan.

Tegas beliau, sekiranya rakyat negara ini terutama dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera alpa, tidak mustahil nasib akan menjadi lebih buruk dari Palestin, Bosnia dan Myanmar. – HARAKAHDAILY 2/8/2024

- Advertisement -