
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata anak-anak Terengganu di perantauan adalah duta pelancongan.
Menurutnya, mereka berperanan dalam mempromosikan negeri Terengganu kepada orang luar untuk datang melancong.
Justeru, ujarnya sememangnya hampir setiap bulan ada sahaja program yang besar dan berimpak tinggi di negeri ini.
Ini, tambahnya sehingga berjaya menarik kunjungan lebih 5.2 juta pelancong tempatan dan antarabangsa setakat separuh pertama tahun ini.
Ini juga, kataya telah melebihi apa yang disasarkan oleh kerajaan negeri iaitu hanya 4.5 juta pelancong.
Mengulas lanjut, katanya, semalam beliau terus bergerak ke selatan untuk menghadiri program ‘Networking Dinner’ bersama anak Terengganu di perantauan sempena ‘Jelajah Beautiful Terengganu 2024 – Pakat Maghi Tranung’.
“Saya nyatakan bahawa anak-anak Terengganu di perantauan ini sebenarnya duta pelancongan yang berperanan dalam mempromosikan negeri Terengganu kepada orang luar untuk datang melancong,” kata beliau menerusi catatan di laman Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, majlis itu juga turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Ustaz Sulaiman Sulong serta Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris menyatakan Terengganu berjaya menarik kunjungan lebih 5.2 juta pelancong tempatan dan antarabangsa setakat separuh pertama tahun 2024, melebihi sasaran awal 4.5 juta pelancong.
Katanya, kejayaan tersebut diraih hasil pelbagai inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurutnya, pelbagai indikator digunakan untuk merekodkan kehadiran pengunjung dan pelancong yang datang ke negeri ini.
Tambahnya, perancangan kerajaan negeri dalam acara-acara pelancongan dan penglibatan Jabatan Pelancongan telah menunjukkan berjaya mempromosikan Terengganu.
Beliau berkata, Terengganu International Bike Week 2024 (TIBW), Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, ‘Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024’ dan Scooterian Mega Gathering 2.0 menjadi antara acara yang berjaya menarik ramai pelancong ke negeri ini. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











