Kematiannya lambang istiqamah menegakkan kebenaran

as-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh

- Advertisement -

KANGAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menyifatkan kematian Ketua Biro Politik HAMAS, Syeikh Ismail Haniyeh sebagai lambang istiqamah bagi menegakkan kebenaran.

- Advertisement -

“Peristiwa yang menyebabkan kematian seorang pemimpin utama HAMAS amatlah menyedihkan kerana kita kehilangan seorang pemimpin gerakan Islam bukan sahaja di Gaza, tetapi di seluruh dunia.

“Keikhlasannya dalam perjuangan menyebabkan beliau dibunuh oleh musuh-musuh Islam,” ujarnya mengenang tokoh itu di mana menyusuli anggota keluarga beliau yang lebih awal terkorban dibunuh.

Beliau menegaskan bahawa semangat dan keikhlasan Ismail Haniyeh dalam perjuangan patut dijadikan ikutan kerana berkorban bukan sahaja dirinya, tetapi juga ahli keluarganya kerana perjuangan ini.

Tambah beliau, umat Islam perlu mengambil pengajaran daripada kematian seorang pemimpin Islam seperti Ismail Haniyeh.

Ujarnya, seorang syuhada seperti Ismail Haniyeh tidak akan rugi apa-apa kerana mereka dijamin oleh Allah dengan keampunan dosa dan memberi syafaat kepada 70 orang ahli keluarganya.

“Apabila seseorang meletakkan kepentingan akhirat sebagai keutamaan, kematian mereka adalah satu keuntungan kerana mereka akan dikurniakan tempat tinggal yang lebih baik di akhirat kelak,” ujarnya.

Tuan Guru Dato’ Hashim juga menyeru umat Islam untuk tidak melihat kepada bilangan yang terkorban, tetapi kepada kedudukan mereka di akhirat.

“Kalau jaminan agama menunjukkan bahawa mereka diterima baik oleh Allah, mereka reda dengan Allah dan Allah reda dengan mereka, maka itulah kejayaan sebenar,” tambah Tuan Guru lagi.

Beliau menegaskan bahawa keadaan sekarang memerlukan perubahan dalam sistem nilai, di mana umat Islam perlu terus berusaha dalam perjuangan yang benar demi mencapai keredaan Allah. – HARAKAHDAILY 2/8/2024

- Advertisement -