
ALOR SETAR: PAS adalah sebuah parti yang mempunyai dasar dan hala tuju jelas, memperjuangkan kebenaran dan melawan perkara salah, demikian tegas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Katanya, PAS konsisten yang salah tetap salah sementara perkara betul dan benar tetap diperjuangkan dan bukannya mengikut kehendak orang ramai.
“Kalau kita ikut saja kehendak orang ramai, itu tiada jati diri. Tapi itu populis. Ikut ja kehendak orang macam mana nak memimpin. Orang ada berjuta, kita seorang. Kalau seorang ikut berjuta, tak gila? Orang berjuta tu la ikut seorang, itu barulah nama kepimpinan.
“Ada orang kata suara rakyat suara keramat. Berapa keramat dok ada? 34 juta keramat?” katanya sambil menegaskan suara keramat sebenar adalah suara yang membawa kebenaran dan itu perlu disokong.
Sanusi ditemui pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Pelepasan Konvoi Jiwa Merdeka di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
ADUN Jeneri itu turut mengulas berkenaan kenyataan terbuka pemimpin GERAKAN yang berhasrat keluar dari gabungan parti Perikatan Nasional (PN)
“Sekiranya GERAKAN ada niat untuk keluar PN, semua itu terserah kepada parti itu sendiri dan pihaknya tiada halangan. Tetapi adalah lebih wajar sebarang ketidak puas hati kepada PN dibincangkan secara dalaman.
“Bukannya mengadakan kenyataan ugutan secara terbuka,” tegasnya Menteri Besar Kedah itu berhubung isu pemimpin GERAKAN menyokong dana syarikat arak untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Sanusi bberanggapan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin GERAKAN berkenaan kemungkinan untuk menjaga pengundi Cina dengan mempertahankan isu-isu berkaitan kaum tersebut.
“Politik di Malaysia ni macam senang saja, berasaskan kaum dan kepentingan komuniti. Umno, PAS, BERSATU untuk Melayu, GERAKAN, DAP untuk Cina, MIC, IPF untuk kaum India.
“Tapi PAS berbeza, konsisten dengan dasar kita, betul-betul, salah-salahlah. Itulah gunanya ada parti,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











