
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyatakan jumlah pampasan kepada rakyat yang terjejas akibat pembangunan Pulau Satu Forest City sebagai kawasan bebas cukai.
Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berkata, nasib penduduk yang terjejas akibat projek tersebut perlu diambil kira serius oleh kerajaan.
Katanya, hasrat kerajaan hendak menjadikan Pulau Satu Forest City sebagai kawasan eksklusif zon pembangunan perlu diteliti bagi mengelakkan penduduk tempatan terjejas.
“Antara harga yang perlu dibayar bagi membangunkan Projek Forest City pengorbanan nelayan di sekitar Tanjung Kupang ekoran pembangunan pulau-pulau buatan di Forest City.
“Apakah unjuran terbaru jumlah peluang pekerjaan yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat susulan peruntukan cukai khas di kawasan tersebut,” kata beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Hassan juga berkata, pembangunan asal Forest City untuk memastikan rakyat setempat tidak ketinggalan daripada pembangunan kerana dicadang dibangun pulau-pulau yang ditambak.
Menurutnya juga kerajaan perlu memperincikan anggaran peruntukan yang diperlukan dengan menyatakan pecahan komitmen kewangan yang bakal disumbangkan kerajaan berbanding pelabur.
“Ini kerana Rang Undang-Undang ini akan melibatkan perbelanjaan wang tambahan yang mana jumlahnya belum dapat ditentukan lagi,” ujar beliau.
Beliau turut berharap kerajaan menyatakan status perkembangan kawasan bebas cukai Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
“Pohon diberi jawapan apakah sebenarnya proses pembangunan yang boleh dijana hasil kawasan bebas cukai Tasik Kenyir Hulu, Terengganu,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/7/2024




















