‘Apabila melibat nyawa manusia, kualiti perlu diutamakan’

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu klausa tentang penilaian terkini dan kompetensi pakar perubatan perlu dimasukkan dalam Akta Perubatan (Pindaan) 2024.

- Advertisement -

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata, ia berkait rapat dengan penambahbaikan ilmu dan kemahiran seseorang pakar.

“Contohnya dengan mengadakan ratification, dengan izin, dan validation seorang pakar, dengan izin. Ini dilakukan semua negara yang maju contohnya di UK, di Australia, Kanada dan sebagainya,” kata beliau sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan akta tersebut di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau juga mencadangkan agar Ketua Pengarah Kesihatan tidak dijadikan Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC) secara automatik bagi mengelakkan kejadian ketidakpatuhan akta berulang lagi.

“Benar kita memerlukan kuantiti doktor-doktor pakar, tetapi apabila apabila melibatkan nyawa seorang manusia yang sangat berharga dan tiada ganti, kualiti sangat perlu diutamakan dan dipertimbangkan oleh KKM dalam membuat keputusan,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta penjelasan kerajaan iaitu apabila takrifan kelayakan ‘pakar yang diiktiraf’ digugurkan, kuasa pengiktirafan institusi hanya dilakukan oleh MMC.

“Jadi soalan saya, adakah ini bermakna pengiktirafan institusi pendidikan ataupun latihan ini sudah beralih daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada MMC?

“Jika ini benar, ia adalah satu perubahan dasar yang besar dalam pengajian tinggi dan mungkin akan melibatkan profesion yang lain,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut meminta penjelasan kerajaan sama ada KPT sudah mengkaji impak pindaan ini ke atas program profesional yang lain. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -