
KOTA BHARU: PAS tidak menolak kemungkinan ada lagi wakil rakyat Umno yang akan menyertai PAS, kata Dato’ Mohd Amar Abdullah.
“Mungkin akan ada seorang dua lagi, kita tengoklah,” kata Naib Presiden PAS itu kepada media ketika ditanya berhubung perkara itu.
Beliau diminta mengulas mengenai ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis mengumumkan menyertai PAS semalam.
Mohd Amar berkata, penyertaan ADUN dari Melaka itu merupakan perkembangan baik kepada Perikatan Nasional (PN).
Kata beliau tiada isu berbangkit selepas Jailani mengumum menyertai PAS kerana beliau sudah lama bersama PAS, namun tidak diisytihar kerana faktor tertentu.
“Sebenarnya sudah lama (dia sertai PAS) cuma kita tidak isytihar kerana faktor taktikal,” katanya yang juga Speaker DUN Kelantan ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kilang Paip Kel-Intaaj Sdn Bhd di sini hari ini.
Pada 31 Julai 2023 Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023.
Bagaimanapun Mohd Amar berkata, Muhamad Jailani menyertai PAS dalam tempoh sebulan sebelum Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan. – HARAKAHDAILY 17/7/2024











