
KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) kecewa dengan tindakan parti Umno yang menyokong penuh penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki syarikat pro-Israel, BlackRock.
Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, beliau bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada pejuang-pejuang Umno kerana sebelum ini parti itu memperjuangkan hak bangsa pribumi dan Melayu, namun sekarang ini perkara sebaliknya pula yang berlaku.
“Lebih dahsyat lagi apabila lapangan terbang negara ini bakal dikuasai oleh syarikat yang bersekongkol dengan rejim haram Israel yang membunuh ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa dengan kejam.
“Pendirian Umno seperti yang diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri membuktikan Umno bukan lagi parti yang boleh diharap untuk memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air lagi,” katanya.
Menurut Nasrul Al, Umno yang kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tidak layak dipilih untuk mentadbir negara ini kerana semua bangsa patut sedar bahawa masa hadapan negara ini sedang digadaikan oleh mereka.
Tambah beliau, kerajaan Malaysia pada kali ini dilihat tidak lagi berpendirian dan takut kepada kuasa besar barat dengan alasan untuk memperkukuhkan ekonomi negara ini.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, GIP dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ; yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah Nasrul Ali, walaupun dahulunya majoriti pemimpin Melayu mentadbir negara tetapi kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama serta keselamatan negara ini tidak digadai dengan mudah apabila rakyat menolak.
“Namun hari ini, bukan sahaja hujah rakyat tak lagi kerajaan dengar, malah pandangan rakyat juga telah diketepikan.
“Sebelum ini wira Putra beranggapan Umno boleh menjadi pengimbang kepada sebarang tekanan dan keputusan Kerajaan Madani tetapi sangkaan tersebut benar-benar meleset apabila presidennya sendiri yang berpendirian menyokong penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock.
“Apa lagi yang boleh diharapkan kepada pemimpin kerajaan daripada umno kalau berada di dalam kerajaan persekutuan pun hanya menjadi ‘pak turut’ semata-mata.
“Umno sebelum ini dikenali sebagai pejuang kepada ABATA (agama, bangsa dan tanah air) itu, kini tidak lagi relevan. Nak harap umno menjaga agama? Blackrock yang secara terang-terangan terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai terhadap saudara se-islam di Palestin pun boleh diperlekehkan.
“Nak harapkan umno menjaga bangsa Melayu dan pribumi? Tak henti-henti di bibir mulut menjulang perpaduan mengikut naratif minoriti sedangkan Pribumi semakin hilang bersuara,” tegasnya.
Beliau menyatakan sudah banyak agensi dan anak syarikat yang dahulunya membawa manfaat kepada rakyat telah digadai oleh kerajaan pada masa ini.
Kata beliau lagi, isu pembelian sebahagian saham MAHB oleh GIP milik BlackRock jelas merupakan ancaman besar terhadap masa hadapan negara ini jika dibandingkan dengan memberi keuntungan ekonomi kepada rakyat bagi jangka pendek.
“Apa pun, kami tidak akan bersetuju dengan sebarang agenda yang mengancam kepentingan dan keselamatan agama, bangsa dan negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024




















