
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa kerajaan menubuhkan suatu pasukan ‘task force’ khas bagi memantau serta membanteras sehingga ke akar umbi aktiviti jenayah ‘dark side’ dalam media sosial.
Ketua DUPP, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pihaknya menzahirkan kebimbangan dengan kegiatan yang meruntuhkan moral yang berlarutan beberapa tahun kebelakangan ini, dengan platform media sosial tidak boleh dibiarkan bebas tanpa batas sehingga boleh merosakkan anak muda dan masyarakat amnya.
“Jenayah ‘dark side’ yang dikatakan aktif dalam aplikasi X merupakan suatu jenayah pelacuran era moden. Golongan yang terlibat dengan jenayah ini menjual gambar lucah sehingga ke hubungan kelamin berhambakan duit sebagai habuan utama,” katanya.
Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena, lebih malang lagi jenayah ini disertai oleh golongan anak muda dan sebahagiannya kelompok mahasiswa yang terpelajar, dan kepentingan duit menjadi dorongan kepada penglibatan mereka sehingga mengenepikan kepentingan dosa dan maruah.

“DUPP menyeru Kementerian yang bertanggungjawab, kumpulan NGO dan pelbagai pihak berkepentingan supaya tampil bekerjasama dalam membanteras jenayah sedemikian.
“Ia memerlukan tekad politik dan usaha yang jitu demi menyelamatkan masyarakat daripada noda dan maksiat yang semakin sukar untuk dibendung,” katanya.
Terdahulu laporan media tempatan melaporkan bahawa kegiatan akaun ‘dark side’ di media sosial mendedahkan barah sosial dalam kalangan masyarakat yang sewajarnya dibendung.
Laporan berdasarkan tinjaun di media sosial juga berkata, didapati bahawa kebanyakan mereka yang terlibat dalam dunia darkside adalah kaum Melayu; dan ramai yang melakukan kegiatan itu hanya kerana ketagih dan dahagakan wang ringgit. – HARAKAHDAILY 26/6/2024











