
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membuat subsidi diesel bersasar baru-baru ini disifatkan sebagai membuat dasar pengecut kerana hanya dikenakan di Semenanjung Malaysia sahaja dan bukanlah satu keazaman politik.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, rakyat Semenanjung tidak mengetahui sama ada mahu berasa sedih, marah atau ketawa apabila tenaga kerja PH bekerja lebih masa untuk ‘menjual cerita’ kononnya penarikan subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan sekarang ini adalah merupkan satu keazaman politik.
“Menurut mereka, kerajaan berani mengambil langkah tak popular untuk buat langkah yang betul.
“Naratif ini nampaknya dimulakan oleh Pak Menteri seperti Rafizi Ramli dan Fahmi Fadzil, lalu dijual tanpa rasa malu oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maksud sebenar azam politik katanya ialah keberanian, namun apa kerajaan Madani buat dalam dasar subsidi bersasar ialah dasar pengecut.
Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu Malaysia berkata, Sabah dan Sarawak dapat membeli minyak pada harga rendah, manakala penduduk Tanah Melayu terpaksa menanggung harga yang mahal.
“Semua orang tahu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tak berani kacau Sabah dan Sarawak kerana dua negeri itu pada bila-bila masa saja boleh tarik sokongan.
“Di sana-sini orang mengutuk dasar pengecut tetapi zalim ini. Bagaimana dalam negara yang sama, dua negeri dapat harga rendah manakala negeri-negeri lain dapat harga mahal?
“Bukan sahaja pengecut, kerajaan Madani juga berdosa kerana membuli penduduk Semenanjung. Mentang-mentanglah Umno dah dijinakkan, Anwar Ibrahim dah boleh buat apa saja.
“Oleh sebab kerajaan takut hilang sokongan Sabah dan Sarawak, harga minyak di Sabah Sarawak dilindungi walaupun harga Semenanjung dinaikkan,” hujahnya.
Menurut beliau lagi, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi pula hanya menyasarkan harga rendah kepada kenderaan tertentu seolah-olah hanya industri tertentu saja yang patut dilindungi dan yang lain sama ada tak dapat apa-apa atau dapat RM200 sebulan.
“Baru satu hari dilaksanakan, pengguna diesel sudah bising-bising marah bantuan tunai tak cukup. Rakyat terbanyak yang menggunakan petrol mula risau jika kawalan diesel ini dibuat ke atas petrol.
“Kerajaan sebenarnya bukannya nak meringankan beban orang susah seperti digembar-gemburkan. Kerajaan seolah-olah tak tahu apa yang dia buat.
“Sehinggakan alasan diberikan kenapa Sabah Sarawak saja dapat harga rendah ialah lebih banyak pengguna diesel di sana berbanding Semenanjung. Alasan yang tak masuk akal!
“Jelas sekali kerajaan tak fikir dengan mendalam. Ia seolah-olah kerajaan nak ikat perut seperti saranan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) tetapi pada masa yang sama, tiada keazaman politik untuk tarik subsidi di sesetengah negeri dan sektor.
“Pendek kata, kerajaan Madani ikut membabi-buta ikut IMF tetapi pada masa sama jadi pengecut terhadap sesetengah pihak, membuli kebanyakan rakyat yang diketahui tak boleh buat apa-apa terhadap kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024




















