
HULU SELANGOR: Proses pengundian hari ini dijangka melibatkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) dibuka serentak pada jam 8 pagi tadi.
Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka sehingga jam 6 petang kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi akan ditutup pada 2 petang.
Penjumlahan undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada jam 10 malam.
Perjalanan proses pengundian dikendalikan 760 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain 1,133 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada hari mengundi.
Pada Selasa lalu, 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
Pusat mengundi awal bertempat di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia yang mempunyai tiga tempat mengundi atau saluran.
PRK KKB 2024 menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Khairul Azhari Saut; calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao; calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin; dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac 2024 akibat penyakit kanser yang dihidapi beliau. – HARAKAHDAILY 11/5/2024




















