
HULU SELANGOR: Sebanyak 18.05 peratus pengundi berdaftar telah selesai mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) setakat pukul 10 pagi tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang diadakan hari ini melibatkan 18 pusat pengundian yang dibuka serentak pada 8 pagi tadi.
Kesemua pusat mengundi dibuka sehingga 6 petang kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, akan ditutup pada jam 2 petang.
Mengikut rekod SPR, PRK DUN Kuala Kubu Baharu mempunyai kali ini 40,226 pengundi berdaftar dengan 39,362 pengundi biasa, serta 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Pada Selasa lepas, sebanyak 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Khairul Azhari Saut (PERIKATAN NASIONAL), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Kesemua calon bagaimanapun tidak mengundi kerana merupakan pengundi luar dan PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. – HARAKAHDAILY 11/5/2024











