
KUALA LUMPUR: Penguat kuasa agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu ditempatkan di kawasan sempadan di mana kerap berlaku penyeludupan.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, ia bagi meningkatkan kecekapan penguat kuasa dalam masalah berkaitan bidang kuasa kementerian itu yang pejabat mereka jauh dari lokasi kejadian sering berlaku.
“Saya ada bangkitkan dalam perbahasan baru-baru ini tentang isu pegawai kita yang bertugas di sempadan dan memerlukan satu pejabat. Kerana pada hari ini pegawai-pegawai di bawah kementerian ini berada di Kota Bharu.
“Sedangkan lokasi berlakunya penyeludupan dan sebagainya berlaku di sempadan Thailand, berada di Pengkalan Kubur, kira-kira 40 kilometer daripada Kota Bharu.
“Jadi alasan yang diberikan, mereka hanya bergerak mengikut aduan,” ujarnya semasa mencelah ucapan Penggulungan KPDN Junjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan daripada Ahli Parlimen Hulu Terengganu sebelum itu bahawa keadaan sekarang memerlukan penguatkuasaan yang lebih serius.
“Sebab kita berada dalam keadaan yang sangat getir. Kasihan kepada rakyat. Kalau boleh saya minta supaya lokasi perlu ditambahkan pegawai dan juga ditambahkan pejabat,” kata beliau.
Tambah Mumtaz, beliau sebelum ini pernah mengajukan pertanyaan kepada pihak Kastam dan Imigresen, namun mereka memaklumkan bahawa perkara itu di bawah kuasa KPDN.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dalam jawapannya berkata, amalan kementeriannya sebelum ini adalah tidak menempatkan atau mengadakan penempatan untuk pegawai-pegawai mereka di sempadan.
“Dan sebenarnya bermula pada tahun ini merintis untuk membuat penempatan walaupun dalam jumlah kakitangan kita yang begitu kurang tetapi kita memulakan program rintis.
“Namun dalam kita merintis program itu kita juga melihat kepada hala tuju kerajaan dengan penubuhan single border agency,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/3/2024




















