Pemerdagangan manusia mesti serius ditangani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak menangani pemerdagangan manusia di negara ini yang semakin meningkat saban hari membabitkan buruh paksa dengan upah atau tanpa upah serta tidak terikat dengan undang-undang.

Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata, kerajaan juga digesa supaya menyatakan langkah yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani gejala tersebut daripada terus menular dalam segenap lapisan rakyat.

- Advertisement -

“Minta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik kes pemerdagangan manusia di negara kita pada waktu ini dan usaha-usaha yang diambil oleh KDN sehingga kini bagi menangani jenayah ini,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian serius dalam membanteras jenayah tersebut menerusi penubuhan dua agensi yang diketuai oleh kementerian terbabit.

Beliau berkata, ia adalah Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran yang turut dianggotai oleh 22 kementerian, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) merupakan penyelaras dan pelaksanakan pelbagai tindakan pencegahan.

Kerajaan juga katanya, mempunyai sistem perundangan domestik iaitu Akta Akti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 atau Akta 670, selain Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2021 hingga 2025.

“Akta 670 ini juga telah diperkasakan melalui pindaan pada tahun 2022 yang memberi tumpuan beberapa penambahbaikan termasuk mengenai definasi pemerdagangan orang bertujuan untuk menambah baik pengenalpastian mangsa.

“Ia juga meningkatkan bilangan pendakwaan dan pensabitan kes pemerdagangan orang, ia juga beri tumpuan kepada aspek pencegahan dengan memberi hukuman lebih berat kepada individu yang didapati bersalah jenayah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -