
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang untuk membuka beberapa R&R (Rawat dan Rehat) di sepanjang daripada Simpang Pelangai ke Kuala Krai dan juga ke Kota Bharu kerana ketika ini baru siap sehingga ke Raub sahaja.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, beliau tertarik dengan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) yang disebut oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
“Jadi sepanjang ini adakah berapakah R&R yang akan dibina dan apakah perancangan pihak kementerian Yang Berhormat,” menurutnya.
Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Menteri Kerja Raya semasa sesi Jawapan oleh YB Menteri-menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja di sini sebentar tadi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara tersebut sudah diperbincangan dan ramai memohon supaya diadakan serta dibangunkan R&R.
“Oleh kerana (projek R&R) itu kita sebenarnya tidak ada dalam apa projek (lebuh raya) ini. Akan tetapi oleh kerana permohonan ini dari ramai termasuk juga Menteri Besar Pahang baru-baru ini apabila saya turun padang 7 Mac ke Raub, memang kita dah nak sediakan untuk kenal pastikan mana-mana pihak yang berminat .
“Dan juga tempat mana yang mungkin diinginkan sebab kita boleh menyediakan apa untuk projek ini. Memang kita faham kerana ini diperlukan sangat,” jawab beliau. – HARAKAHDAILY 12/3/2024




















