Pendang syor kaji kadar baharu untuk anggota polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta menyatakan kesediaan kerajaan hari ini untuk membuat satu pertimbangan sewajarnya bagi mengkaji semula kadar gaji yang baharu kepada salah satu agensinya iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, situasi ekonomi termasuk kenaikan kos sara hidup sekarang memungkinkan kerajaan melakukan perubahan tersebut untuk memastikan kelancaran tugas yang diberikan oleh anggota keselamatan itu.

- Advertisement -

“Minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan kadar gaji baharu kepada anggota polis memandangkan kadar gaji terkini tidak kompetitif dengan keadaan ekonomi semasa yang menyukarkan kehidupan.

“Dengan kadar yang ada sekarang, dilihat tidak sepadan dengan tanggungjawab dan peranan polis dalam menjaga keselamatan negara,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam jawapan menyatakan pihaknya sentiasa menyemak emolumen dan kemudahan polis untuk pastikan kebajikan dan amanah diberikan kepada anggota keselamatan itu terpelihara.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang menyelaras satu kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang melibatkan penambahbaikan struktur gaji, elaun dan kemudahan bagi semua perkhidmatan awam termasuk polis dan dijangka dilaksanakan tahun depan.

“Terima kasih kepada Pendang membangkitkan kebajikan anggota polis untuk makluman gaji pokok yang diterima oleh polis bukanlah satu jumlah yang statik, KDN akan sentiasa mengkaji dan anggota akan menerima kenaikan gaji tahunan pada setiap tahun.

“Ia tertakluk kepada prestasi pegawai, emolumen yang merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap dan lain-lain elaun yang diberi berdasarkan penugasan, kepakaran dan risiko tugas, jumlah keseluruhan melebihi paras gaji minimum iaitu RM1,500,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -