
KUALA LUMPUR: Pemberian peruntukan hanya kepada mereka yang menyokong Perdana Menteri perlu dielakkan agar tidak menjadi normalisasi rasuah, demikian tegur Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa).
Bagaimanapun, nasihat beliau itu mengundang kemarahan wakil-wakil kerajaan yang segera bangun membantah antaranya Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36-12.
“Yang disebutkan oleh Pengkalan Chepa bahawasanya pemberian peruntukan adalah disifatkan sebagai menormalisasikan rasuah. Maka, apa yang dituduh dan didakwa oleh Pengkalan Chepa adalah, bahawasanya setiap ahli dewan yang mulia ini, yang diberikan peruntukan, telah mengambil rasuah.
“Itu bukan sahaja sesuatu yang tidak tepat itu menghina semua anggota dalam dewan yang mulia ini. Maka saya berpandangan bahawasanya itu telah menghina majlis dan dewan yang mulia ini.
“Maka saya ingin mendapatkan petua daripada Tan Sri Speaker untuk minta Pengkalan Chepa menarik balik dan memohon maaf atas hujah yang biadab dan telah menghina majlis ini,” ujar Chuan How.
Dr Ahmad Marzuk menyebut perkara itu ketika mengambil bahagian dalam ucapan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini petang tadi.
Beliau kemudiannya bangun memaklumkan bahawa sama sekali tidak berniat untuk menuduh YAB Tambun melakukan rasuah dan kenyataannya itu sebagai nasihat umum supaya tidak dinormalisasikan rasuah.
“Saya tidak spesifik kepada sesiapa, boleh jadi kepada sebelah sini dan boleh jadi kepada sebelah sana. Saya tidak ada niat seperti itu, tetapi mereka ini telah menghuraikan bagi pihak saya.
“Saya sebut nasihat secara umum tadi saya bermula dengan nada, kami pernah bersama dengan PMX, kita beri bantuan ikhlas, waktu kesempitan dan saya memohon peruntukan sebelum Ramadan ini sebolehnya diumumkan.
“(Jadi) Mana tuduhan kepada beliau? Itu nasihat secara umum. Jangan dijadikan syarat untuk setuju dengan apa-apa syarat termasuk menyokong sebagai habuan dapat peruntukan.
“Rasionalnya perkara itu membimbangkan kita dan itu boleh jadi kita menormalisasikan rasuah. Saya tak kata kepada siapa,” jelas beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Yang di-Pertua, Tan Sri Johari Abdul kemudian bertanya kepada Pengkalan Chepa untuk mengesahkan bahawa dimaksudkan ucapannya itu sama ada mereka yang telah menyokong YAB Tambun iaitu pernah menerima habuan ataupun rasuah daripadanya.
Dr Ahmad Marzuk kemudiannya menidakkan perkara tersebut, dan Johari menganggap perkara tersebut selesai dan tidak memanjangkannya lagi. – HARAKAHDAILY 6/3/2024




















